Isa Kamari dilahirkan di Singapura pada 19 Mei 1960. Setelah menamatkan pendidikan awal di Institusi Raffles dan Maktab Rendah Nanyang, beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti Nasional Singapura sehingga berjaya meraih ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1985 dan Sarjana Muda Senibina (Kepujian) pada 1988. Beliau pernah memenangi Anugerah Cemerlang dari Majlis Pembangunan Masyarakat Islam Singapura, Mendaki, pada tahun 1988. Beliau pernah bertugas sebagai arkitek di Lembaga Perumahan dan Pembangunan, HDB (1988-1993) dan di sebuah firma senibina setempat (1993-1996). Kini beliau bertugas sebagai penolong pengurus senibina dengan Penguasa Pengangkutan Darat, LTA di Singapura.
Beliau mula menulis sejak di bangku sekolah. Sajak sulungnya terbit di Berita Minggu, Singapura pada 1979. Selain dikenali sebagai penyair, beliau juga penulis cerpen, esei sastera dan novel. Kumpulan sajaknya Sumur Usia pernah memenangi Anugerah Buku dari Majlis Pembangunan Buku Nasional, Singapura pada 1994. Beliau pernah juga meraih Hadiah Sastera Anugerah Persuratan anjuran Majlis Bahasa Melayu, Singapura dalam bidang cerpen pada 1997 dan esei sastera pada 2001. Selain itu, beliau juga telah memenangi Hadiah Penghargaan Anugerah Persuratan pada tahun-tahun penilaian 1993, 1995 dan 1997 bagi genre puisi dan esei sastera, dan Hadiah Penghargaan Saadon Ismail, anjuran Persatuan Wartawan Melayu, Singapura pada 1995 dalam genre puisi dan cerpen. Pada 1999, novel pertamanya, Satu Bumi telah meraih Hadiah Penghargaan Anugerah Persuratan. Buku-buku lain ialah kumpulan puisi Sumur Usia (1993), kumpulan cerpen Sketsa Minda (1994); novel-novel Kiswah (2002), Menara (2002) dan Tawassul. Karya-karyanya juga termuat di dalam Berita Minggu, Dewan Sastera, Lianhe Zenbao dan antologi bersama, Tiga Warna Bertemu, Terminal Terakhir, Singa, Literature in Singapore, The Fiction of Singapore, Anthology of Asean Literature, Journeys, Anthology of Singapore Poetry, dan New Nation.
Rujukan:
(2004). Potret Diri Seorang Penyair: Antologi Puisi. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura